Tuesday, February 15, 2011

penerima anugerah perdana maulidur rasul 2011

2011/02/15

PUTRAJAYA: Bekas Prof Madya Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Abd Shukor diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan, sebentar tadi.

Penerima anugerah itu diumumkan pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bertemakan 1Malaysia 1Ummah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat pada majlis itu.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Abdul Hayei, 64, menerima anugerah itu daripada Tuanku Mizan iaitu
berupa hadiah wang tunai RM50,000, plak, sijil penghargaan dan terjemahan kitab al-Quran.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu yang juga Anggota Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memberikan sumbangan yang sangat besar dalam penulisan karya-karya ilmiah.
Antaranya, beliau menghasilkan sebuah kitab tafsir al-Quran versi Melayu yang diberi judul Tafsir Pedoman Muttaqin yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, enam lagi menerima anugerah sempena majlis itu.

Mereka ialah Wee Soon Yen, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan; bekas Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral) Kementerian Pelajaran, Datuk Dangiran Mustapha.

Profesor di Kuliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Tan Sri Dr Robaayah Zambahari; bekas Ketua Pegawai
Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Hasmah Abdullah dan bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Abdul Hayei melahirkan rasa syukur kerana menerima anugerah yang sangat tinggi nilainya kepada beliau dan umat Islam.

Beliau berkata dengan penerimaan anugerah itu ia membuktikan bahawa perkara kebaikan masih wujud di negara ini.

Katanya dengan ilmu yang ada, beliau akan terus menjalankan kewajipan untuk memberikan sumbangan kepada agama dan negara.

"Memang satu kewajipan bagi umat manusia yang mempunyai amanah untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini," katanya.

Sementara itu, Wee yang mencatat keputusan cemerlang 8A dalam semua subjek termasuk bahasa Arab pada Penilian Menengah Rendah (PMR) 2010, tidak menduga untuk menerima anugerah berprestij itu.

Sambil menyifatkan pencapaiannya dalam peperiksaan PMR tidak seberapa berbanding anugerah yang diterimanya, beliau berkata ia sebenarnya memberi erti yang sangat besar kepadanya untuk terus mendalami bahasa Arab.

Wee adalah satu-satunya pelajar berbangsa Cina dan bukan Islam yang mendapat A dalam subjek bahasa Arab pada PMR 2010. - BERNAMA

2 comments:

azzey said...

Smlm tgk juga kat TV. Rasa respect gak kat pelajar yang berbangsa China tu. Tahniah lah utk kesemua penerima anugerah..:)

Elly Jade said...

2la...sye dlu blaja arab.dpt B..waaa malunya...huhu..dia siap pndai cakap lg..hehe

 

Travelblog Elly Jade Copyright © 2014 Designed by Alieff Artwork